Sunday, November 18, 2007

Surat Dari Ayahbonda

Ramadhan dan Syawal sudah pun berlalu meninggalkan kita semua. Semalam,ketika sibuk mengemas bilik,aku tertarik untuk membaca sekali lagi kad-kad raya yang dikirimkan keluarga dan kawan-kawan di Malaysia. Setelah satu-persatu kad aku buka dan membaca ayat-ayat yang dikirimkan,kini yang terakhir tiba giliran kad dari Emak dan Abah ku.Kad muzik bertajuk Buat Anakandaku Tersayang

Aku mulakan dengan membaca ayat-ayat yang sememangnya sudah tertera di kad ini

Salam kerinduan ini
khas buat anakanda yang jauh
Tiada Ayahbonda harapkan
hanya

Tuntutlah ilmu dengan gigih dan bersemangat
demi kebahagiaan hidupmu di masa depan
Peliharalah tingkah laku dan bicaramu
agar dirimu dihormati dan disenangi.
Tempuhilah liku-liku kehidupan dengan
ketabahan dan kecekalan di hati.
Doa restu Ayahbonda sentiasa mengiringimu.
Kejayaan Anakanda
Kebahagiaan abadi untuk Ayahbonda berdua

Salam Sayang Dari Ayahbonda


Kemudian aku membaca kata-kata dari Abahku

Kepada,
Anakanda Amir yang jauh di mata, Ayahanda ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin sekiranya Ayahanda melakukan kesilapan terhadap Anakanda.Diharap Anakanda maafkanlah.Maklumlah manusia tak sunyi dari kesilapan.

Anakanda, Ayahanda berdoa semoga belajarlah bersungguh-sungguh,janganlah lepas peluang semasa muda untuk belajar agar tercapai cita-cita Anakanda dan keluarga semua.

Sekian sampai di sini sahaja dapat Abah lahirkan perasaan di hari baik bulan baik pada Hari Raya ini. Semoga sihat walafiat dan bergembira di samping rakan-rakan di negara orang.Salam rindu dari Abah dan Emak.Ok,bye.


Dalam kad ini terselit sekeping surat dari Emak..Aku membuka dan membacanya buat kesekian kalinya..

Assalamualaikum
Cheq,Mak di sini sihat selalu dan boleh berpuasa.Mak harap cheq pun macam tu juga,jangan ponteng puasa orang tak nampak tapi Tuhan nampak.Mak harap cheq boleh meneruskan pelajaran di negara orang,peluang ini datang hanya sekali,rebutlah jangan sia-siakan.Mak di sini berdoa untuk masa depan cheq,jangan lupa berusaha dan berdoa,walau tinggi mana pun kita,hanya kerdil di sisi Allah.Jangan lupa asal-usul kita,jangan lupa IbuBapa kita dan adik beradik yang lain,supaya diberkati Allah.Mak sayang cheq,rindu dekat cheq.Mak tak lupa semua tu.Mak harap cheq jangan ambil hati apa yang Mak buat dekat cheq,Mak marah cheq,membebel dekat cheq itu semua kerana Mak sayang cheq.Cukuplah luahan hati Mak buat masa ini.Selamat berpuasa dan menyambut Hari Raya di samping kawan-kawan.Mak minta maaf kerana tulisan Mak bukan cantik,maklumlah Mak bukannya pandai.

Akhir sekali doakanlah untuk Mak dan Abah sihat selalu dan panjang umur.

Sekian yang merindu-Ibumu


Dan buat kesekian kalinya juga,airmata ini tumpah tak dipinta..
Salam Aidilfitri buat semua

1 comment:

Anonymous said...

sedihnya bc, teringat family kt kg... malaysia kaeritai na...

u-don-know-me hih